Kita baru selesai berdemonstrasi membantah ISA. Ramai juga yang turun. Bagi kami yang menyokong demo anjuran GMI ini, kami merasakan ianya berjaya menghantar mesej kepada kerajaan BN hasrat rakyat yang menentang ISA. Walaupun badan mula terasa sengal-sengal akibat pergelutan di Masjid Negara, komitmen yang ditunjukkan penyokong menyejukkan perasaan dan menghilangkan kesakitan. Namun ada 50 orang lagi yang bermalam di lokap utk malam kedua malam ni. Dan 2 orang penyokong terlantar di hospital Sg Buloh dengan kecederaan teruk akibat kemalangan jalan raya semasa menuju ke KL dari Penang.
Betul ke demo ini berjaya mencapai objektifnya? Kalau ada yang mengharap ISA akan dihapuskan esok pagi, anda akan kecewa. BN terang-terang menolak pemansuhan akta ini. Namun BN menjanjikan pindaan. Kita tidak pernah meminta pindaan. Oleh itu kita mesti hidup terus dengan akta ini buat beberapa ketika lagi. Jadi apa untungnya bersakit-sakit berdemo semalam? Jawapannya, paling tidak, rakyat bercakap mengenai ISA dan keburukannya. Berikan mereka sedikit masa dan maklumat tambahan dan saya yakin majoriti rakyat akan menolak ISA. Pada masa yang sama rakyat menyedari mengapa BN beriya-iya mempertahankan ISA, iaitu mempertahankan kekebalan mereka mengatasi 'legitimate dissent' terutama dari pembangkang. Rakyat melihat bagaimana aparat pemerintah, khususnya PDRM digunakan untuk memadamkan bangkangan ini. Dan mereka lakukan pembantaian ini dengan cukup keras!
Demo ini dikatakan tidak popular di kalangan peniaga. Benarkah? Anda perhatikan masih ada peniaga yang tidak menutup kedai dan meraih jualan yang tinggi. Tidak ada kedai yang dicerobohi dan di rompak atau dirosakkan. Jika peniaga tidak mengikut arahan polis supaya menutup kedai saya yakin mereka tidak akan rugi semasa 2 jam lebih kurang kita berdemo. Kalau ada barangan yang rosak, itu kerana semburan air kimia pihak polis yang tiada belas kasihan termasuk kepada peniaga. Pelancong asing tidak memboikot Malaysia kerana demo. Mereka tidak singgah kerana toilet awam yang kotor, segelintir pemandu teksi yang menipu, barangan tiruan yang melambak di pasaran dan banyak faktor lain. Pelancong di Bangkok melimpah ruah walaupun setiap hari ada demo. Hari esok lepas demo, peniaga boleh berniaga bersungguh, utk setiap hari sampai demo seterusnya yang tak diketahui bila. Bagi yang kerugian, kami mohon maaf.
Demo ini berjaya menyatukan rakyat berbagai kaum. Melayu, Cina dan India bersatu hati. Hj Hadi, Anwar dan Kit Siang memimpin ahli parti masing-masing turun gelanggang. Berpuluh NGO turun bersama-sama membawa mesej perjuangan masing-masing tanpa batas ideologi. Pelajarpun melupakan kegerunan mereka kepada AUKU utk bersama menuntut kewarasan kerajaan. Ini saya kira adalah kejayaan yang amat manis. Ada anasir cauvinis bangsa mengandaikan orang Melayu diperalat oleh kaum Cina, apabila 95% yang berdemo adalah Melayu, sedangkan mereka kaum Cina pergi ke PC Fair. Hasutan seperti ini tidak akan membantu membina penyatuan negara. Mujurlah rakyat berbagai kaum yang lahir pasca Merdeka tidak mudah diperdaya untuk memilih pegangan perkauman sempit anjuran desperado UMNO ini. Lihatlah jumlah anak muda yang turun berdemo. Mengkagumkan! Jadi, komen-komen nakal ini pasti akan cair ditelan realiti.
Pemimpin UMNO marah betul dengan demo ni. Orang nombor satu cadangkan, secara memperli, supaya kita ditempatkan di satu kawasan tertentu saperti di stadium untuk berdemonstrasi. Bolehlah kita menjerit, katanya, sampai ke subuh. Orang UMNO bolehlah terima cadangan bodoh PM ni, tapi kami akan ikut cara kami. Demo baru nipun bukan kami minta kebenaran kerajaan pun. Kami rakyat merdeka yang bebas dan demokratik. Kalau demo Pro-ISA nak buat di stadium, ikut sukalah.
Ada penganalisis politik yang bijaksana berkata pembangkang berdemo kerana ingin dikatakan mendahului kerajaan yang telahpun sedia hendak pinda akta itu. Jika lambat, hilanglah hujah pembangkang. Jika dipinda nanti, bolehlah pembangkang mendakwa itu kejayaan dia. Memang bijak!! Tapi untuk makluman semua penyokong kerajaan, jika kerjaan mansuhkan ISA, kami tidak akan rasa dukacita. Itulah yang kita perjuangkan. Mansuhkanlah, dan PM dan UMNO boleh ambillah kreditnya. Kami tidak akan cemburu. Mansuhkanlah. Panggillah satu sidang khas Parlimen 3 minggu dari sekarang, dan bawalah usul pemansuhan. Kami akan sokong. Tapi ingat, kami tidak pernah menuntut ISA dipinda. Ingat!
Ada pula si Mat tu bertanya, mengapa pembangkang takut pada ISA kalau mereka tidak bersalah? Isy isy isy. Dear Mat, orang yang tidak bersalah lah yang perlu takut pada ISA. Tanya Ezam, Lokman Adam, Ibrahim Ali. Mereka kata mereka tak bersalah tapi dipenjara tanpa bicara di bawah ISA. Mereka tidak pernah dibuktikan bersalah, tapi tetap kena penjara kerana ISA memenjara tanpa perbicaraan. Manakala orang yang memang bersalah memang tak takut pada mana-mana undang, sebab tu dia berani buat kesalahan. Inipun Mat tu tak faham. (contoh-contoh orang yang pro-pembangkang yang dianiaya oleh ISA tak payah tanya lah).
Ada pula 'ustaz' umno buat fatwa ISA tidak salah dari segi Islam, sebab ada fasal-fasal (kecuali tahan tanpa bicara) yang baik buat negara. Laaa. Ada orang kata merokok ada kebaikan, ada vit C dalam tembakau, ada kesan memberi inspirasi dan macam-macam. Tapi rokok amat bahaya, mengatasi sedikit kebaikannya. Jadi rokok kena dihapuskan, dan ada Mufti ayng mengharamkan merokok. Ada doktor kata arak tu ada kebaikannya, boleh buat pembius, boleh tenang jiwa, boleh panaskan badan ibu baru bersalin dan macam-macam lagi. Namun Allah kata bahaya keburukan arak mengatasi sedikit kebaikannya lalu Islam haramkan arak. Haram terus. Tapi saya pasti 'ustaz' kita tu akan mengeluarkan pendapat dan nas lain pula untuk halalkan ISA, dan kata tak boleh banding ISA dengan arak. ISA takde dalam Quran....Bagi saya, 'ustaz' yang sokong ISA sama macam ustaz yang tidak sembahyang, dan sama macam doktor yang merokok. Buruknya.
Akhirnya, ada sahabat minta diteruskan demo. Insyaallah, kita teruskan. Saya yakin demo berperanan merubah pemikiran rakyat dan pemimpin. Pengalaman berdemo berkali-kali telah meyakinkan saya demo boleh membuahkan hasil. Baik demo reformasi, demo PROTES kenaikan harga barang, demo BERSIH menuntut demokrasi, demo hindraf menuntut keadilan, demo PPSMI menuntut kewarasan, demo anti-Israel, dll, setiap satu ada menghasilkan kejayaannya masing-masing. Maaflah kalau harapan anda bahawa demo 1 Ogos yang diganasi polis akan menjadi yang terakhir, tidak menjadi kenyataan.