Ahad, 2 Ogos 2009

Demo anti ISA Berjaya


Kita baru selesai berdemonstrasi membantah ISA. Ramai juga yang turun. Bagi kami yang menyokong demo anjuran GMI ini, kami merasakan ianya berjaya menghantar mesej kepada kerajaan BN hasrat rakyat yang menentang ISA. Walaupun badan mula terasa sengal-sengal akibat pergelutan di Masjid Negara, komitmen yang ditunjukkan penyokong menyejukkan perasaan dan menghilangkan kesakitan. Namun ada 50 orang lagi yang bermalam di lokap utk malam kedua malam ni. Dan 2 orang penyokong terlantar di hospital Sg Buloh dengan kecederaan teruk akibat kemalangan jalan raya semasa menuju ke KL dari Penang.

Betul ke demo ini berjaya mencapai objektifnya? Kalau ada yang mengharap ISA akan dihapuskan esok pagi, anda akan kecewa. BN terang-terang menolak pemansuhan akta ini. Namun BN menjanjikan pindaan. Kita tidak pernah meminta pindaan. Oleh itu kita mesti hidup terus dengan akta ini buat beberapa ketika lagi. Jadi apa untungnya bersakit-sakit berdemo semalam? Jawapannya, paling tidak, rakyat bercakap mengenai ISA dan keburukannya. Berikan mereka sedikit masa dan maklumat tambahan dan saya yakin majoriti rakyat akan menolak ISA. Pada masa yang sama rakyat menyedari mengapa BN beriya-iya mempertahankan ISA, iaitu mempertahankan kekebalan mereka mengatasi 'legitimate dissent' terutama dari pembangkang. Rakyat melihat bagaimana aparat pemerintah, khususnya PDRM digunakan untuk memadamkan bangkangan ini. Dan mereka lakukan pembantaian ini dengan cukup keras!

Demo ini dikatakan tidak popular di kalangan peniaga. Benarkah? Anda perhatikan masih ada peniaga yang tidak menutup kedai dan meraih jualan yang tinggi. Tidak ada kedai yang dicerobohi dan di rompak atau dirosakkan. Jika peniaga tidak mengikut arahan polis supaya menutup kedai saya yakin mereka tidak akan rugi semasa 2 jam lebih kurang kita berdemo. Kalau ada barangan yang rosak, itu kerana semburan air kimia pihak polis yang tiada belas kasihan termasuk kepada peniaga. Pelancong asing tidak memboikot Malaysia kerana demo. Mereka tidak singgah kerana toilet awam yang kotor, segelintir pemandu teksi yang menipu, barangan tiruan yang melambak di pasaran dan banyak faktor lain. Pelancong di Bangkok melimpah ruah walaupun setiap hari ada demo. Hari esok lepas demo, peniaga boleh berniaga bersungguh, utk setiap hari sampai demo seterusnya yang tak diketahui bila. Bagi yang kerugian, kami mohon maaf.

Demo ini berjaya menyatukan rakyat berbagai kaum. Melayu, Cina dan India bersatu hati. Hj Hadi, Anwar dan Kit Siang memimpin ahli parti masing-masing turun gelanggang. Berpuluh NGO turun bersama-sama membawa mesej perjuangan masing-masing tanpa batas ideologi. Pelajarpun melupakan kegerunan mereka kepada AUKU utk bersama menuntut kewarasan kerajaan. Ini saya kira adalah kejayaan yang amat manis. Ada anasir cauvinis bangsa mengandaikan orang Melayu diperalat oleh kaum Cina, apabila 95% yang berdemo adalah Melayu, sedangkan mereka kaum Cina pergi ke PC Fair. Hasutan seperti ini tidak akan membantu membina penyatuan negara. Mujurlah rakyat berbagai kaum yang lahir pasca Merdeka tidak mudah diperdaya untuk memilih pegangan perkauman sempit anjuran desperado UMNO ini. Lihatlah jumlah anak muda yang turun berdemo. Mengkagumkan! Jadi, komen-komen nakal ini pasti akan cair ditelan realiti.

Pemimpin UMNO marah betul dengan demo ni. Orang nombor satu cadangkan, secara memperli, supaya kita ditempatkan di satu kawasan tertentu saperti di stadium untuk berdemonstrasi. Bolehlah kita menjerit, katanya, sampai ke subuh. Orang UMNO bolehlah terima cadangan bodoh PM ni, tapi kami akan ikut cara kami. Demo baru nipun bukan kami minta kebenaran kerajaan pun. Kami rakyat merdeka yang bebas dan demokratik. Kalau demo Pro-ISA nak buat di stadium, ikut sukalah.

Ada penganalisis politik yang bijaksana berkata pembangkang berdemo kerana ingin dikatakan mendahului kerajaan yang telahpun sedia hendak pinda akta itu. Jika lambat, hilanglah hujah pembangkang. Jika dipinda nanti, bolehlah pembangkang mendakwa itu kejayaan dia. Memang bijak!! Tapi untuk makluman semua penyokong kerajaan, jika kerjaan mansuhkan ISA, kami tidak akan rasa dukacita. Itulah yang kita perjuangkan. Mansuhkanlah, dan PM dan UMNO boleh ambillah kreditnya. Kami tidak akan cemburu. Mansuhkanlah. Panggillah satu sidang khas Parlimen 3 minggu dari sekarang, dan bawalah usul pemansuhan. Kami akan sokong. Tapi ingat, kami tidak pernah menuntut ISA dipinda. Ingat!

Ada pula si Mat tu bertanya, mengapa pembangkang takut pada ISA kalau mereka tidak bersalah? Isy isy isy. Dear Mat, orang yang tidak bersalah lah yang perlu takut pada ISA. Tanya Ezam, Lokman Adam, Ibrahim Ali. Mereka kata mereka tak bersalah tapi dipenjara tanpa bicara di bawah ISA. Mereka tidak pernah dibuktikan bersalah, tapi tetap kena penjara kerana ISA memenjara tanpa perbicaraan. Manakala orang yang memang bersalah memang tak takut pada mana-mana undang, sebab tu dia berani buat kesalahan. Inipun Mat tu tak faham. (contoh-contoh orang yang pro-pembangkang yang dianiaya oleh ISA tak payah tanya lah).

Ada pula 'ustaz' umno buat fatwa ISA tidak salah dari segi Islam, sebab ada fasal-fasal (kecuali tahan tanpa bicara) yang baik buat negara. Laaa. Ada orang kata merokok ada kebaikan, ada vit C dalam tembakau, ada kesan memberi inspirasi dan macam-macam. Tapi rokok amat bahaya, mengatasi sedikit kebaikannya. Jadi rokok kena dihapuskan, dan ada Mufti ayng mengharamkan merokok. Ada doktor kata arak tu ada kebaikannya, boleh buat pembius, boleh tenang jiwa, boleh panaskan badan ibu baru bersalin dan macam-macam lagi. Namun Allah kata bahaya keburukan arak mengatasi sedikit kebaikannya lalu Islam haramkan arak. Haram terus. Tapi saya pasti 'ustaz' kita tu akan mengeluarkan pendapat dan nas lain pula untuk halalkan ISA, dan kata tak boleh banding ISA dengan arak. ISA takde dalam Quran....Bagi saya, 'ustaz' yang sokong ISA sama macam ustaz yang tidak sembahyang, dan sama macam doktor yang merokok. Buruknya.

Akhirnya, ada sahabat minta diteruskan demo. Insyaallah, kita teruskan. Saya yakin demo berperanan merubah pemikiran rakyat dan pemimpin. Pengalaman berdemo berkali-kali telah meyakinkan saya demo boleh membuahkan hasil. Baik demo reformasi, demo PROTES kenaikan harga barang, demo BERSIH menuntut demokrasi, demo hindraf menuntut keadilan, demo PPSMI menuntut kewarasan, demo anti-Israel, dll, setiap satu ada menghasilkan kejayaannya masing-masing. Maaflah kalau harapan anda bahawa demo 1 Ogos yang diganasi polis akan menjadi yang terakhir, tidak menjadi kenyataan.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ya, berjaya menghuru-hara negara daripada aman damai..syabas!! contoh yang baik untuk anak2 bangsa kita..

Tanpa Nama berkata...

Akta peninggalan penjajah British ini cukup di pertahankan olih UMNO, walaupun bertentangan dengan hukum syariat. Aku tak faham le Melayu jenis apa UMNO ni.

pria malaya berkata...

Allahuakbar!!..tahniah Dr..teman pun ada bersama2 Dr dihari kejadian..

hidup rakyat!
hidup anak muda!!

Tanpa Nama berkata...

Allah Akbar ! Allah Akbar ! Allah Akbar !.

Ana cadangkan diadakan satu himpunan besar-besaran (SATU MALAYSIA) dengan mengadakan Solat Hajat Perdana di Stadium untuk Kempen Mansuh ISA dengan mengadakan qunut nazilah bagi mendoakan kepada mereka yang melakukan kezaliman pada 1 ogos yang lalu. Marilah kita mengadu kepada Allah yang Maha Perkasa.

PAS-PKR-DAPigs berkata...

Kalangan anak muda hari ini tidak tahu kekejaman 'komunis' terhadap melayu/Islam setelah tamat pemerintahan Jepun dan sebelum kemasukan semula kuasa British di Tanah Melayu.

Pada masa itu 'komunis' dapat memerintah lebih kurang seminggu sahaja - tetapi tahukah anak2 muda hari ini berapa ramai 'komunis' ini telah membunuh melayu/Islam yang tidak berdosa - itu baru dapat kuasa seminggu, kalau sebulan? setahun? bagaimana.

Yang saya tahu di Sg Manik sahaja melayu(Banjar) yang berani melawan dan berperang sabil dengan komunis ini.

Hari ini, PAS dan PKR bersengkokol pula dengan 'anak-cucu komunis' ini.

Sekarang ramai pula melayu/Islam yang mahu hapuskan ISA yang telah berjaya mengawal kegiatan 'komunis'.

'Anak-cucu komunis' ini akan bersorak gembira jika ISA di gubal atau dihapuskan.

Kebijaksanaan cina berpolitik - mereka tidak mahu berdemonstrasi, sedangkan mereka inilah anak-cucu 'komunis' yang sebenarnya.

Hatta Ramli berkata...

Terima kasih atas komen2. Mana ada huru hara negara. Kat satu sudut KL je, itupun bila polis tembak gas. Anak saya pun dilatih utk tahu hak-hak dia dlm demokrasi. Bukan ada paksaan pun. Beritahu kami brp kedai yang dirosak oleh penyokong kami, brp polis yang dicederakan, kereta org awam/polis yg diterbalikkan. Ilek.

Akta utk komunis tapi Ezam, Md Sabu, Mahfuz, Bakar Chik, Anwar, Khalid Samad, Lokman Adam, Kamaruddin Jaffar, Sidik Baba, Ibrahim Ali, Burhanuddin Helmi, Pak Nik Lah pulak kena tangkap. Badrulamin pun komunis ke? Bila lak Kit Siang, Guan Eng, Teresa, Uthayakumar, Nasir Hashim jadi komunis. Jgn lupa Pas pun terima hujah Tun Razak dulu kerana nak lawan komunis. Bila akta tu dikenakan pada Pas, ni tak aci le. Dah tu nak heret anak cucu komunis buat apa? Kita pun sekarang ngam dengan China Komunis, Cuba, dll. Parti China Komunis pun hadir Perhimpunan Agung Umno. Amende.

Isunya penahanan tanpa bicara yg bertentangan dgn Islam. Caya tak?

CintaNegara berkata...

Kalau polis memberi kerjasama, mana ada huru-hara?

Di Amerika, polis tolong buka jalan bagi demonstrasi berjalan lancar.

Kalau polis tidak menghalang, 1 jam dah cukup untuk menyampaikan memorandum kepada DYMM Agong.

Abuarif berkata...

Demontrasi bak air yang sedang mengalir,jka dibiarkan ia akan mengalir dengan dan membasahi bumi.Apalagi jika dibuat laluan maka mengalirlah kemana saja yang kita mahu,keladang,kesawah atau kemana saja.TETAPI air yang mengalir jangan cuba disekat atau ditahan ia akan melanggar sekatan hatta merobohkan sekatan tersebut.Jadi biarkan ia mengalir sambil menyebarkan keseluruh pelusuk bumi.

Tanpa Nama berkata...

syabas dan tahniah dr. jasa kalaian akan dikenang oleh anak-anak akan datang, termasuk polis, fru dan juga pencacai umno yang menentang usaha kalian

atzmand berkata...

Syabas Dr.
Kami pemuda Pakatan berdiri teguh di belakangmu.