Rabu, 5 Ogos 2009

Masih Isu Demo ISA - Tuntutan Peniaga Melampau

Diberitakan bahawa 1000 peniaga sekitar Jalan Masjid India menuntut bayaran atas kerugian yang mereka alami berjumlah sebanyak RM 10 juta, atau puratanya RM10,000 setiap peniaga. Kalau benarlah berita itu, ertinya dalam tempoh 2 jam demo berlangsung itulah jumlah yang mereka rugi. Kalau diunjurkan ertinya seorang peniaga di Jalan Masjid India boleh memperolehi RM60,000 seorang jika mereka berniaga selama 12 jam sehari!! Lumayan rupanya berniaga di sekitar Jln Masjid India.

Saya yakin 1000 orang peniaga ini telah melakukan perkara yang sepatutnya, iaitu membuat laporan polis menyenaraikan barangan yang rosak atau hilang serta nilainya, membawa barang bukti seperti barang jualan yang dicemari oleh sebarang bahan kimia dll, atau melaporkan orang-orang yang disyakki mencuri barangan mereka, mengenalpasti pihak yang mengarahkan mereka menutup kedai (samada arahan lisan atau bertulis), sebarang kecederaan atau pedih mata (perlu ada laporan perubatan), atau apa saja yang boleh menguatkan tuntutan mereka.

Kita dimaklumkan bahawa pasukan peguam dari Pemuda Umno akan mewakili mereka ini untuk mengemukakan tuntutan ke atas penganjur himpunan, iaitu GMI yang terdiri dari 83 NGO dan Parti Politik. Proses ini pasti akan disegerakan bagi membantu peniaga mendapatkan pampasan bagi mengganti barangan mereka yang rosak. GMI pasti akan membariskan peguam-peguamnya untuk memastikan kebenaran dan keadilan tertegak. Kalau ditakdirkan mahkamah memutuskan GMI yang mengarahkan gerai dan kedai ditutup, peserta himpunan yang mencuri dan melarikan barangan dagangan mereka, atau peserta himpunan yang mencurahkan air kimia ke atas barangan mereka serta menyebabkan peniaga lari lintang pukang akibat gas pemedih mata yang dibaling oleh peserta himpunan, maka GMI tanggunglah bebannya. Saya yakin selepas semua ruang rayuan gagal melepaskannya, GMI akan terpaksa menadah tangan kepada semua penyokongnya bagi mendapatkan sejumlah RM 10 juta yang dituntut. Adilkan?

Pengkritik akan menegur saya mengatakan bahawa tidak perlu pembuktian seketat itu, cukup dengan hanya mengatakan kehadiran ribuan 'pelanggan' yng dikerah oleh GMI itu telah menjejaskan perniagaan mereka, dan RM 10 juta itu munasabah. Mereka juga akan berkata kehilangan hasil itu bukan kerana demonstrasi dua jam tapi 6 jam atau lebih. Dan kata mereka nanti, GMI yang memaksa polis bertindak sebagaimana mereka telah bertindak. Soalannya mengapa RM 10 juta, dan apa paksaan yang GMI lakukan kepada polis? Mesti ada asasnya. Ini yang akan menjadi hujahan di mahkamah nanti.

Dalam masa yang sama pihak LHDN mesti segera menaksir 'income tax return' peniaga-peniaga yang terbabit, kerana tidak seperti yang dijangka pendapatan 1000 peniaga ni cukup lumayan. Saya pernah berlegar-legar di kawasan perniagaan Jalan Masjid India selepas peristiwa banjir besar Januari 2008 (kalau saya tidak silap) yang merosakkan perniagaan mereka. Mereka mengeluh dan mengadu macam-macam, seperti kekurangan pelanggan, atap bazar bocor, bayar sewa pada orang tengah, kurang pencahayaan pada waktu malam dan macam-macam rungutan, membayangkan kesusahan peniaga kecil disitu. Rupanya saya tidak diberi maklumat sebenar. Mereka boleh mendapat purata RM 60,000 sehari!!

Kalau sudah diputuskan itu saman yang dikemukakan, maka GMI kena hadapi. Mungkin deretan kedai selain di Jln Masjid India akan juga mengemukakan tuntutan. Gedung SOGO dan kedai di Pertama Complex pun mungkin akan saman GMI, walaupun mereka tidak menutup perniagaan (ada juga yang engkar pada arah GMI untuk menutup kedai). Samada tuntutan ini melampau atau tidak, kita akan tunggu dan lihat, manakala penyokong GMI yang hari itu amat marah dengan pihak polis dan KDN akan mula merasa marah pada kumpulan (sebahagian) peniaga yang menyaman mereka.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dan... semua pecinta kebenaran, pulau aja kedai2 tu

atzmand berkata...

tuan dr,
jangankan RM10mil,membayar walau hanya RM1 kepada pendukung undang2 yang zalim pun saya kira tidak rasional!

kalau dengan wang sejumlah RM10mil tu boleh 1) membebaskan kesemua tahanan yang merengkok di balik tembok besi ISA itu, 2) kos untuk memansuhkan akta rimba itu, silakan, ayuh kutip derma/sumbangan dan bayar!

kami semua para demonstran bukan banjingan haprak yang tak mengerti bahasa undang2, prinsip negara demokrasi dan raja berpelembagaan.

apa yang dituntut adalah pembebasan tahanan, hak kebebasan berhimpun dan bersuara, pemansuhan akta gila ISA.

tuan dr, jangan tunduk pada tekanan pemerintah yg dzalim. teruskan perjuangan.

kami takkan bayar walaupun 1 sen.

wassalam.

atzmand berkata...

tuan dr,

cuba tanya pak najib atau sepupunya itu:
berapa ratus juta kah keluarga si mangsa dan orang2 kampung memali dapat?

-sekadar mengingatkan.