Setakat berita radio jam 9.00 pagi ni, jumlah kes selsema A H1N1 ini mencecah 144 orang berikutan laporan 21 kes baru dalam tempoh 24 jam yang lalu. Kebanyakan kes adalah kes import, yakni yang dibawa samada oleh pelancong atau anak tempatan yang masuk ke negara ini. Thailand dan Indonesia adalah antara 6 negara yang mana sesiapa yang datang dari negera-negara ini akan disaring dan dipantau dengan rapi.
Isu yang ingin saya ketengahkan ialah nama penyakit yang hendak kita promosikan kepada masyarakat. Kalau anda rasa polemik yang saya cuba timbulkan ini adalah remeh, anda silap. Ikuti hujah yang saya ingin kemukakan.
Ianya bermula dengan Swine Flu (bukan Pig flu, walaupun samalah tu), atau terjemahannya Selsema Babi (bukan khinzir, Kata DS Rais Yatim). Kemudian WHO mahu ianya di popularkan sebagai A H1N1 Flu, atau selsema A H1N1. Swine flu kerana virusnya dikesan pada babi, dan penyakit ini berjangkitan di kalangan babi. Malangnya virus dari babi ini boleh menjangkiti manusia. Lebih malang lagi virus ini pula boleh berjangkit sesama manusia. Hari ini saya yakin jangkitan seluruh dunia adalah antara manusia ke manusia. Peranan babi sudah berakhir.
DS Rais mahu nama Selsema Babi dipopularkan, bagi menggambarkan seriusnya penyakit ini. Beliau tidak mahu A H1N1 digunakan, kerana ia hanya huruf dan nombor yang tidak memberi apa-apa makna. Bila mendengar hujah beliau di TV saya terus menghantar SMS kepada seorang rakan yang menjadi Timbalan Menteri, dan kepada seorang pegawai tinggi Kementerian Kesihatan. Timbalan Menteri tidak menjawab tapi pegawai KKM ini menjawab 'thanks'. Esoknya saya mendengar DS Rais mengendurkan rhetoriknya dan mencadangkan gabungan kedua-dua nama. Agaknya mesej saya telah sampai ke sasarannya.
Saya masih tidak setuju. Selsema A H1N1 adalah jangkitan serius, dan amat mudah berjangkit. Satu peratus pesakit boleh maut. Rakyat mesti disedarkan dan pesakit mesti dirawat segera, bukan ditakut-takutkan atau dimalukan. Mengaitkan babi dengan jangkitan ini hanya mewujudkan stigma yang tidak kita perlukan. Tidak ada sesiapa, baik Muslim atau Non-Muslim mahu dikaitkan dengan babi. Non-Muslim ketika menyumpah pun sebut babi.
Jika kita mahu mengadakan program pengawalan dan pencegahan, kita mahu seramai mungkin orang yang mengesyakki mereka dijangkiti tampil untuk pemeriksaan di hospital atau klinik. Tetapi bagaimana orang mahu tampil dengan sukarela jika mereka disyakki ada hubungan dengan babi? Mereka akan berasa malu. Akhirnya mereka tidak dapat rawatan, tidak dapat dikuarantin dan terus merebakkan virus ini dalam masyarakat. Ketika itu wabak sudah melanda dan kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi.
Oleh itu, saya mengesyorkan supaya penyakit ini dikenalkan dengan nama saintifiknya iaitu Selsema A H1N1. Kalau kita ingat cerita penyakit Gila Babi vs Epilepsy, saya fikir anda akan faham maksud saya.
Selasa, 30 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan