Selasa, 16 Jun 2009

Siapa Pengganti Pak Su Wil di Manek Urai?

Apabila dipilih menjadi calon Parlimen Kuala Krai pada PRU 12 tahun lalu, saya tidak dapat membayangkan kedudukan geografi dan struktur demografi kawasan tersebut. Apabila ditunjukkan peta kawasan PR dan taburan pengundinya, saya terbayangkan cabaran dan ancaman yang bakal di hadapi. Saya teringin kembali ke Gombak yang telah memang saya kenal sekian lama. Bagaimanapun itu pasti hanya tinggal keinginan. Azmin Ali sudah bersedia di sana. Saya mempunyai masa 3 hari untuk menyesuaikan diri dengan realiti baru ini, termasuk mempastikan ejaan sebenar Manek pada nama Manek Urai.

(Ihsan dari Malaysiakini)
Saiz Parlimen K Krai 3 kali ganda saiz Perlis. Jarak dari satu hujung ke hujung bertentangan mencapai 120 km. Boleh dijamakkan sembahyang. Maka saya pasti boleh dimaafkan jika dalam tempoh berkempen selama 12 hari itu ada kampung yang saya tidak sempat masuk, ada masjid yang saya tidak sempat singgah, dan macam-macam kekurangan lagi. Namun atas sokongan pengundi dan keinginan mereka untuk mengembalikan K Krai dan semua DUNnya (ada 4 DUN) kepada Pas dan PR maka kita menang. Ismail Yaakob atau Pak Su Wil menang selesa di Manek Urai. Kembalinya beliau sebagai ADUN disambut meriah, umpama pulangnya wira ke ribaan rakyat.

Saya menumpang populariti orang tempatan seperti Pak Su. Mengikut rekod, yang mengundi Pak Su telah juga mengundi saya. Begitu juga di 3 DUN lain. Bertuahnya saya kerana kalau mengharapkan imej peribadi yang tidak siapa yang kenal, mustahil saya diundi oleh mereka. Mungkin begitulah cara atau pola mengundi rakyat Malaysia, iaitu kesetiaan mengundi mengikut parti.

Empat tahun (2004-2008) di bawah BN tidak menjadikan K Krai dan Manek Urai lebih baik dari kawasan-kawasan lain di Kelantan. KESEDAR yang dikuasai kerajaan Pusat tidak menyempurnakan pembangunan luar bandar dan wilayah yang dikuasainya. Jalan kampung tidak terpelihara, penganugerahan projek-projek kecil dan pembinaan rumah mampu milik dibuat secara berpilih-pilih mengikut garis kepartian, manakala projek-projek besar yang dilulus untuk RMK9 seperti hospital baru K Krai dan lebuh raya pintasan baru, dianjakkan ke RMK10. Itulah punca kemarahan rakyat hingga mereka memindahkan sokongan kepada kerajaan pimpinan TG Nik Aziz.

Pak Su Wil ditakdirkan uzur sejurus selepas dipilih buat kali ke 5. Keuzurannya berakhir dengan kematian setelah 10 hari menjalani above-knee amputation kaki kirinya berikutan embolism dalam salur darah betis kirinya. Pemergiannya diratapi ramai. Ramai yang turut menyempurnakan solat jenazah beliau dibelakang TG Nik Aziz. Kini DUN Manek Urai sedang mencari ganti kepada Pak Su Wil. Adakah sesiapa dari Pas yang boleh menggantikan beliau? PRK Manek Urai pada 14 Julai akan memberikan jawapan.

1 ulasan:

pokmudo berkata...

Sudah 2 tahun saya bertukar ke kg halaman saya, Guchil. Kebetulannya pula PRU12.Semasa saya & adik lelaki saya yg bertugas di Sabah (pulang dgn belanja sendiri kerana rasa bert/jwb)keluar hendak membuang undi, kami terserempak dgn YB di hdp rumah sewa YB yg beberapa meter sahaja dgn kediaman ibu kami.Sempat kami bersalaman. Alhamdulillah, keluarga kami sememangnya mahukan Islam sebagai cara hidup dan kami bukan taksub kpd anak tempatan.