Rabu, 1 April 2009

MP PAS Kuala Krai: Apa kesan Pelaksanaan schoolNet fasa II merangsang ekonomi?

16 Mac 2009 - Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi)

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Pengerusi, Ahli-ahli mesyuarat sekalian. Saya ingin menyentuh butiran 724 schoolNet fasa II yang kelihatannya diperuntukkan lebih RM75 juta dalam bekalan tambahan pertama 2009 ini.

Dinyatakan dalam akta yang disediakan ini bahawa pada anggaran 2009 yang lalu, dalam bajet yang lalu tidak disediakan apa-apa peruntukkan untuk projek ini dan dalam tambahan ini tiba-tiba muncul RM75 juta. Soalan yang ingin saya bangkitkan apakah dalam masa kita menangani persoalan kegawatan ekonomi dan juga peruntukkan mini budget sebagai stimulus kepada ekonomi ini, kita merasakan perkara ini antara perkara teras yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi ataupun tidak.

Kalau ia dilihat penting kita tentu menjangka dalam pembentangan bajet sebenarnya tahun lepas perkara ini diberikan keutamaan. Diberikan RM300 juta contohnya maka oleh kerana penting ditambah RM75 juta. Akan tetapi dalam bajet awal tidak terfikir dan tiba-tiba muncul dalam pembekalan tambahan.

Saya meminta penjelasan apa sebenarnya content schoolNet fasa II ini bagaimana ia akan diagih-agihkan mengikut sekolah mengikut negeri dan juga apa kesan yang kita harap daripada pelaksanaan schoolNet fasa II ini yang boleh membayangkan ia satu projek merangsang ekonomi pada peringkat ini. Ringkas sahaja Tuan Pengerusi terima kasih.

Difailkan dalam: ADR Kuala Krai

Tiada ulasan: