Sabtu, 2 Mei 2009

MP PAS Kuala Krai: Peruntukan RM20 juta menaik taraf perkhidmatan virtual autopsy technology tidak munasabah

17 Mac 2009 - Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.49 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih kepada Tuan Pengerusi kerana mengizinkan saya untuk bersama-sama menimbang Butiran 01500 iaitu peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta lebih untuk membiayai projek menaik taraf perkhidmatan virtual autopsy technology bagi unit forensik makmal diagnosis Hospital Universiti Kebangsaan.

Kita menyokong penuh usaha untuk memudahkan urusan membuat autopsi ini supaya ianya lebih tepat dan dapat mencari punca kematian bagi mana-mana kes dengan lebih tepat, lebih jelas supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Terutama berikutan beberapa insiden kebelakangan ini, di mana hasil bedah mayat ataupun post-mortem ataupun autopsi telah menjadi bahan pertikaian sehingga menimbulkan keresahan kaum keluarga dan juga masyarakat.

Kita juga berhadapan dengan suasana Tuan Pengerusi, sebagai pimpinan masyarakat, sebagai Ahli Parlimen apabila berhadapan dengan kes-kes kematian yang dikatakan, dikaitkan dengan kes-kes polis, keluarga akan cuba untuk meminta kita menggunakan pengaruh supaya post-mortem ini dapat dikecualikan, biasa ya. Sebab tidak ada siapa mahu melihat kaum keluarganya dibedah, diambil organ-organnya untuk menjadi bahan bukti punca kematian.

Jadi tidak keterlaluan kalau keluarga datang kepada kita setelah berjumpa polis, polis tidak mahu beri sokongan, minta kepada kita. Akan tetapi kita juga ada masalah sebab kita tidak mahu terheret dalam kes-kes polis apabila suara kita ataupun sokongan kita ini menyebabkan sesuatu kes yang sepatutnya telah melalui proses post-mortem, tidak melaluinya. Apabila timbul kes ini di mahkamah, mungkin kita pun terseret sebagai saksi yang tidak bersedia, unwilling witness.

Jadi perlu ada satu kaedah autopsi hari ini yang mungkin tidak memerlukan dissection, tidak memerlukan pembedahan dan pengeluaran organ untuk membuktikan sesuatu sebab kematian. Maka saya dimaklumkan bahawa virtual autopsy technology ini adalah satu teknologi yang dapat mengurangkan dissection ataupun pembedahan-pembedahan terhadap organ-organ ini.

Ertinya mungkin dengan mengambil sebahagian daripada cecair badan atau sebahagian daripada organ itu melalui extraction misalnya dapat menentukan punca kematian. Saya dimaklumkan juga oleh pakar-pakar dalam bidang ini bahawa teknologi ini telah digunakan dalam banyak negara yang moden. Peruntukan RM20 juta ini saya rasa munasabah.

Cumanya saya dimaklumkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa setakat RM20 juta ini mungkin kita akan dapat separuh daripada satu sistem yang lengkap. Jadi dalam banyak hal, kita minta dikaji semula supaya kajian dikurangkan, tetapi dalam hal ini mungkin kalau benar kita hendak satu yang lengkap, mungkin kita perlukan tambahan yang mencukupi supaya tidaklah nanti dalam masa akan datang minta tambahan lagi.

Ertinya peralatan yang dibeli secara bahagian-bahagian sehingga tidak melengkapkan fungsinya. Jadi kita harap dengan adanya sistem ini nanti, mungkin akan melibatkan kos yang tinggi bagi setiap pembedahan.

Saya dimaklumkan juga bahawa setiap kes kalau diproses melalui sistem atau teknologi ini melibatkan kos lebih kurang dalam RM500 satu kes. Memang ada overhead kepada kerajaan, kalau kita buat dissection di bilik bedah mayat pun sebenarnya dari segi masa, tenaga kerja, ada kos di situ. Jadi saya rasa ini dapat diseimbangkan.

Yang pentingnya, mayat itu tidak terlalu di mutilate, tidak terlalu didissect dan akan lebih friendly kepada sentimen masyarakat. Jadi dalam hal ini saya bersetuju supaya peruntukannya ditambah. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Difailkan dalam: ADR Kuala Krai

Tiada ulasan: